Sunday, 14 December 2014

SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN SUNGAI SAEH

SK SUNGAI SAEH merupakan sekolah yang pertama di buka atau ditubuhkan di kawasan Saeh. Sekolah ini dibina pada tahun 1962 dan dibuka untuk kemasukan pelajar pada tahun 1963. Bangunan pertama sekolah ini dibina di tebing sungai Saeh putih, di belakang Rh. Ayai Ak Sawing sekarang ini.Oleh kerana sering di tenggelami air apabila musim tengkujuh maka pada tahun 1984 ianya dipindahkan ke tapak baru, di atas bukit Aping seperti yang terdapat pada masa kini.
          Di awal pembukaannya sekolah ini mempunyai bilangan murid yang agak ramai berbanding sekarang, iaitu sekitar 40 ke 50 orang pelajar, kerana anak-anak penduduk rumah panjang sekitar Saeh bertumpu ke sekolah ini. Namun demikian selang beberapa tahun pembukaan sekolah baru iaitu di hilirnya Sk Rh. Mentali manakala di hulunya Sk Rh. Undi menyebabkan bilangan pelajar sekolah ini mula berkurangan.
           Suatu ketika dahulu sekolah ini hanya boleh didatangi melalui sungai, iaitu dari pekan Sepupok menggunakan bot meredah sungai Niah dan masuk ke sungai Saeh mengambil masa dalam sejam jika air pasang atau bah, tetapi sekiranya kemarau atau air surut perjalanan ke sini mengambil masa dalam dua ke dua setengah jam kerana sebaik sahaja masuk sungai Saeh, ada kalanya penumpang yang terpaksa terjun ke sungai yang airnya cetek untuk menarik bot ataupun berjalan kaki meredah denai melalui tebingan sungai Saeh.

           Namun sekarang, sejak tahun 2007 perjalanan ke sini lebih mudah kerana adanya jalan raya yang dibina selaras dengan arus pembangunan walaupun jalan tersebut belum cukup sempurna tetapi jauh lebih selesa berbanding menggunakan bot dahulu.

No comments:

Post a Comment